- Sembahyang Juma‘at telah difardhukan di Makkah
sejurus sebelum Nabi berhijrah ke Madinah. Rasulullah sallallahu ‘alayhi
wasallam juga menegaskan dengan sabdanya: “Sembahyang Juma‘at adalah
tanggungjawab yang wajib ke atas setiap orang Islam.”
Syarat Wajib
Juma‘at
1. Mukallaf,
iaitu seorang yang beragama Islam, baligh dan berakal.
2.
Kemerdekaan yang sempurna. Hamba tidak diwajibkan Juma`at.
3. Lelaki, ia
tidak diwajibkan ke atas wanita kerana mereka sibuk dengan anak-anak dan urusan
rumahtangga, seterusnya menimbulkan kesulitan kepada mereka.
4. Sihat
tubuh badan, tidak sakit yang memudaratkan.
5. Bermukim
di tempat Juma`at didirikan.
Syarat Sah Juma‘at
1. Sembahyang
itu hendaklah didirikan dalam sempadan kawasan bangunan dan binaan sama ada di
pekan atau di kampung yang penduduknya bertaraf mastautin.
2. Bilangan ahli
Juma‘at yang cukup syarat tidak kurang daripada empat puluh orang yang cukup
syarat.
3. Bilangan ahli
Juma‘at berkekalan dari awal khutbah hingga tamatnya sembahyang.
4. Didirikan
dalam waktu Zuhur. Jika waktu Zuhur telah sempit, tidak cukup untuk didirikan
sembahyang Juma‘at, maka mereka wajib mendirikan sembahyang Zuhur.
5. Tidak
berbilang-bilang Juma‘at pada satu tempat selama ia boleh dibuat dalam satu
jama‘ah kecuali penduduk terlalu ramai sedangkan tempat adalah sempit.
Fardhu Juma‘at
Ia terdiri daripada dua fardhu, iaitu khutbah dan sembahyang dua raka‘at. Sembahyang Juma‘at hendaklah didirikan dengan dua raka‘at secara berjama‘ah selepas khutbah. Untuk mendapatkan jama‘ah dalam sembahyang Juma‘at, hanya disyaratkan mendapatkan satu raka‘at yang penuh. Sekiranya ia diperolehi, maka sembahyang Juma‘at adalah sah dan jika tidak, ia wajib ditukar kepada Zuhur.
Rukun Khutbah
1. Memuji
Allah subhanahu wata‘ala dengan menggunakan mana-mana lafaz sekalipun terdapat
di dalam isi kandungan ayat yang dibaca.
2. Bersalawat
ke atas Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam dengan mana-mana perkataan yang
memberi maknanya.
3. Berpesan
supaya bertaqwa kepada Allah dengan menggunakan apa jua lafaz.
4. Membaca
satu ayat daripada Al-Qur’an yang dapat memberi kefahaman dan mempunyai makna
yang jelas pada salah satu daripada dua khutbah.
5. Berdoa
untuk orang-orang yang beriman pada khutbah yang kedua.
Syarat Khutbah
1. Khatib
berdiri ketika berkhutbah sekiranya ia berkuasa untuk berbuat demikian.
Kedua-dua khutbah tersebut hendaklah dipisahkan dengan duduk.
2. Tidak
dikemudiankan daripada sembahyang.
3. Khatib
berada dalam keadaan suci daripada hadath kecil dan besar, serta najis yang
tidak dimaafkan sama ada pada pakaian, badan atau tempatnya dan berada dalam
keadaan menutup ‘aurat.
4.
Rukun-rukun khutbah dibaca dalam bahasa Arab biarpun tidak difahami oleh para
jama‘ah.
5.
Berturut-turut di antara rukun-rukun khutbah dan juga antara khutbah pertama
dengan khutbah kedua serta antara khutbah kedua dengan sembahyang.
6. Rukun
kedua-dua khutbah tersebut hendaklah didengari oleh empat puluh orang yang
mencukupi syarat-syarat sah sembahyang Juma‘at.
No comments:
Post a Comment