Solat Ketika Bermusafir


  • Bermusafir adalah suatu yang berbentuk azab. Disebabkan musafir, manusia kehilangan perasaan-perasaan tenang dan kerehatan. Oleh itu, Allah subhanahu wata‘ala telah memberikan kepada mereka dua bentuk keringanan dalam sembahyang seperti berikut:
1. Memendekkan bilangan raka‘at yang dinamakan qasar.
2. Menghimpunkan dua sembahyang tunai antara satu sama lain dalam satu waktu dinamakan jama‘.
  • Perjalanan yang membolehkan sembahyang jama‘ dan qasar disyaratkan :
1. Jarak jauh perjalanan hendaklah sampai dua marhalah iaitu lebih kurang 81 km atau lebih.
2. Perjalanan hendaklah menuju ke arah tertentu dan diketahui bahawa tempat yang dimaksudkan itu jauh.
3. Perjalanan itu bukan dengan tujuan maksiat. Bermusafir dengan tujuan berniaga arak, mengambil riba atau menyamun adalah maksiat maka tidak diberi kelonggaran.

SEMBAHYANG QASAR
  • Ia adalah sembahyang fardhu dengan memendekkan setiap sembahyang empat raka‘at iaitu Zuhur, ‘Asar dan ‘Isya’ menjadi dua raka‘at dalam perjalanan yang diharuskan. 
  • Syarat-syarat sah sembahyang qasar seperti berikut :
1. Sembahyang itu telah masuk waktu ketika bermusafir dan hendaklah ditunaikan ketika musafir.
2. Orang yang bermusafir hendaklah telah sampai ke sempadan bandar atau pekan yang hendak ditinggalkan atau melepasi bangunan-bangunan di pekan tersebut.
3. Orang bermusafir tidak berniat untuk tinggal di tempat tujunya selama empat hari atau lebih, tidak termasuk hari sampai dan pulang.
4. Orang yang musafir tidak menjadi ma’mum kepada orang yang bermukim, maka sembahyang wajib ditunaikan dengan bilangan raka‘at yang sempurna.


SEMBAHYANG JAMA'
  • Sembahyang jama‘ bermaksud menghimpunkan dua sembahyang tunai antara satu sama lain dalam satu waktu. 
  • Sembahyang jama‘ terbahagi kepada dua bahagian:
1. Jama‘ taqdim iaitu menunaikan sembahyang kedua dalam waktu yang pertama. Syarat-syarat jama‘ taqdim adalah seperti berikut :
a) Ditunaikan secara tertib antara keduanya, iaitu dengan menunaikan sembahyang yang pertama terlebih dahulu kemudian diikuti dengan sembahyang yang kedua.
b) Hendaklah berniat jama‘ untuk menunaikan sembahyang kedua ke dalam waktu yang pertama sebelum selesai sembahyang yang pertama ketika takbiratul ihram.
c) Ditunaikan secara berturut-turut (muwalat) iaitu sembahyang yang kedua ditunaikan segera sebaik sahaja selesai daripada salam sembahyang pertama tanpa dipisahkan oleh sesuatu pun sama ada zikir, sembahyang sunat atau lain-lain.
d) Perjalanan berterusan sehingga dilakukan sembahyang yang kedua.
e) Sembahyang yang pertama hendaklah diyakini bahawa didirikan dengan sah walaupun sembahyang itu mesti ditunaikan semula kerana mungkin ketiadaan air untuk berwudhu’.
2. Jama‘ ta’khir iaitu melewatkan sembahyang pertama ke dalam waktu kedua. Sembahyang secara jama‘ ta’khir tidak disyaratkan tertib antara kedua sembahyang bahkan boleh memulakannya dengan mana-mana sembahyang yang dikehendaki. Juga tidak disyaratkan muwalat (berturut-turut) tetapi ia disunatkan. Syarat-syaratnya ialah :
a) Berniat hendak melewatkan sembahyang pertama ketika dalam waktunya dalam jarak masa yang boleh ditunaikan sembahyang tersebut.
b) Orang yang bermusafir itu hendaklah terus berada dalam keadaan musafir sehingga kedua-dua sembahyang selesai didirikan.

No comments: